WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Semua MRSM Diisytihar Cuti Esok Sempena Kejayaan MRSM Balik Pulau Juarai Ragbi - Asyraf

27/07/2025 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara diisytiharkan cuti pada esok (28 Julai) sebagai tanda penghargaan atas kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di media sosialnya malam ini bagi meraikan pencapaian cemerlang pasukan ragbi itu yang telah mengharumkan nama MRSM. 

“Semua MRSM di seluruh negara diisytiharkan cuti esok (28 Julai 2025) bersempena dengan kejayaan MRSM Balik Pulau menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

"Tahniah MRSM BP Cougars," katanya. 

Cougars BP mencipta sejarah apabila muncul pasukan MRSM pertama bergelar juara Kejohanan Super Schools Rugby apabila menewaskan Victoria Institution (VI) 14-13 dalam aksi final di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi perkongsian di Facebook turut mengucapkan tahniah atas kejayaan bergaya berkenaan.

“Lebih manis lagi, kemenangan itu hadir selepas menewaskan pasukan hebat Victoria Institution dalam perlawanan akhir yang cukup sengit sebentar tadi.

“Selepas 10 tahun menyertai kejohanan ini, akhirnya Cougars berjaya membawa pulang kejuaraan dalam saingan berprestij itu. Syabas MRSM Balik Pulau terus harumkan nama sekolah dan institusi MARA!,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan