WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Atur Langkah Segera Bantu Jemaah Umrah Terkandas

28/07/2025 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi sedang mengatur langkah segera bagi memastikan kebajikan dan keselamatan 42 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lepas terjamin, termasuk usaha membawa mereka pulang dengan selamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya memandang serius kes sedemikian selain tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah umrah, terutama melibatkan warga emas dan penjawat awam. 

Beliau berkata tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah dalam insiden terbabit.

"Saya amat prihatin dan bersimpati dengan nasib 42 jemaah umrah Malaysia yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai akibat isu ketiadaan tiket penerbangan pulang.

"Sejak awal tahun saya berulang kali mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan status syarikat dan pakej umrah yang ditawarkan melalui saluran rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk portal dan aplikasi khas semakan ejen pelancongan berlesen," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Mohd Na'im turut menasihati umat Islam di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan hanya memilih pengendali umrah yang sah, berlesen serta berdaftar dengan pihak berkuasa sekali gus mengelakkan kejadian sedemikian berulang pada masa hadapan.

Menurut laporan media semalam, 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia seperti dijanjikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan