WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usaha Damai Anwar Perlu Didukung Semua - Wan Rosdy

29/07/2025 06:12 PM

KUANTAN, 29 Julai (Bernama) -- Kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memimpin usaha damai antara Thailand dan Kemboja, wajar didukung seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata inisiatif itu turut memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai pemain diplomatik yang dihormati pada peringkat antarabangsa.

“Saya berpandangan bahawa menjadi ahli politik tidak membawa maksud segala perkara harus dipolitikkan, apatah lagi apabila ia menyentuh hal hubungan luar negara serta isu-isu kemanusiaan sejagat.

“Keupayaan Malaysia mempertemukan pihak yang bertelagah sehingga berjaya memeterai gencatan senjata merupakan pencapaian yang harus dibanggakan oleh kita semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menilai isu antarabangsa secara matang dan berhemah, serta tidak meletakkan kepentingan politik melebihi keperluan menjaga nama baik negara dan maruah rakyat Malaysia di peringkat global.

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikai, hasil mesyuarat khas dipengerusikannya di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan