KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Wanita UMNO akan mengedarkan 21,000 Jalur Gemilang kepada penduduk di kawasan masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotik masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di seluruh negara.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia antara agenda utama di bawah program Semarak Merdeka Wanita Malaysia yang julung kali dianjurkan.
“Bendera-bendera ini akan diagihkan kepada masyarakat setempat memandangkan hari ini semua Ketua Wanita UMNO negeri atau wakil mereka hadir untuk menerima bendera berkenaan.
“Kita juga akan mengadakan pertandingan video pendek yang menampilkan aspirasi cinta kepada negara, menggambarkan bagaimana Malaysia bangkit daripada era penjajahan dan kekal utuh hingga kini, dengan semangat kemerdekaan yang terus dirasai walaupun telah 68 tahun merdeka,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari yang turut hadir memaklumkan pelbagai program lain akan dijalankan sepanjang bulan kebangsaan ini, termasuk program menyantuni Orang Asli di Perak, pemandu beca pelancongan di Melaka dan edaran mesej kemerdekaan kepada penumpang Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
“Kita mahu pendekatan kemerdekaan ini bukan sahaja dengan kibaran Jalur Gemilang tetapi juga dengan mendekati rakyat dan menyantuni mereka secara langsung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial