WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPN Gesa Semua Pihak Berhenti Sebar Maklumat Tidak Tepat Mengenai Kes Zara Qairina

07/08/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak menghentikan tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat yang belum disahkan berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir. 

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya telah mengesan penularan maklumat dan gambar kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

Beliau berkata maklumat yang dikongsi itu adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam selain boleh menjejaskan perjalanan siasatan serta mengganggu proses keadilan kepada semua pihak terlibat. 

"Segala proses siasatan membabitkan kes berkenaan termasuk isu bedah siasat sedang dijalankan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan semua pihak dinasihatkan menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi maklumat tidak sahih, termasuk mendedahkan maklumat berkaitan siasatan kes itu," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Khalid berkata perbuatan mendedahkan maklumat berkaitan kes berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melibatkan larangan mendedahkan maklumat identiti, alamat, nama sekolah dan gambar kanak-kanak yang terlibat serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan  kerana kesalahan berkaitan pendedahan maklumat.

"Individu terlibat juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara.

"Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan sedia ada,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi 16 Julai.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara telah menyerahkan semula laporan siasatan awal kes itu kepada PDRM untuk dilengkapkan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan