KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji semula program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan dijangka mengumumkan skim baharu pada bulan ini, sejajar dengan semakan semula struktur tarif elektrik bagi memastikan pengagihan subsidi lebih adil.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Tenaga) Mareena Mahpudz berkata kerajaan masih dalam proses memuktamadkan penggantian skim NEM 3.0 yang berkemungkinan menjadi hibrid antara NEM dan Kegunaan Sendiri (SelCo) atau kemungkinan program baharu secara menyeluruh.
“Sebagaimana yang anda tahu, struktur tarif itu keseluruhannya adalah berbeza mulai Julai,” katanya pada sesi bicara tengah hari bertajuk “Memacu Peralihan Tenaga Hijau” di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Sementara itu, Fadillah berkata sebarang program baharu bagi menggantikan NEM perlu seiringan dengan tarif sistem baharu yang secara beransur-ansur akan berganjak daripada penggantungan kepada subsidi.
“Kita sudah pun ada SelCo yang melibatkan pemasangan panel solar bagi kegunaan sendiri. Jika ini disertakan dengan bateri, anda dapat menyimpan lebih banyak tenaga solar, memanjangkan lagi tempoh penggunaan daripada kira-kira tiga jam hingga empat jam kepada sehingga tujuh atau lapan jam.
“Jika ini masih tidak cukup, anda boleh mendapatkan baki tenaga itu daripada grid (tenaga),” katanya.
Fadillah berkata model skim lain yang turut dipertimbangkan adalah Program ‘Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) (Mekanisme Pengagretan Tenaga Boleh Baharu Komuniti) atau pengagretan solar bumbung yang memberi manfaat kepada komuniti dalam lingkungan atau radius lima kilometer.
Beliau berkata program itu dapat memperkasa kumpulan setempat untuk menguruskan sistem tenaga masing-masing, sekali gus membolehkan subsidi diakses secara berkumpulan dan membolehkan komuniti membangunkan, mengurus serta menggunakan tenaga solar secara berkesan.
“Pendekatan baharu itu membolehkan lebih banyak akses secara terangkum untuk tenaga solar, melangkaui pemilikan secara individu dan dapat mewujudkan penyelesaian tenaga berasaskan kumpulan atau komuniti,”
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial