WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pasukan Pemerhati Sementara Pantau Gencatan Senjata Sempadan Thailand-kemboja

07/08/2025 10:37 PM

BANGKOK, 7 Ogos (Bernama) -- Pasukan Pemerhati Sementara (IOT) yang terdiri daripada atase pertahanan negara-negara ASEAN dan diketuai atase pertahanan Malaysia akan ditempatkan di kedua-dua belah sempadan Thailand-Kemboja bagi memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata pasukan IOT akan terdiri daripada atase pertahanan daripada kedutaan ASEAN yang berpangkalan di Thailand dan Kemboja.

“Pasukan pemerhati akan melaksanakan operasi pemantauan secara tetap di sebelah sempadan masing-masing tanpa melintasi ke wilayah negara jiran,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Beliau berkata penubuhan IOT merupakan antara hasil utama Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Nikorndej berkata Thailand dan Kemboja turut memperbaharui komitmen terhadap gencatan senjata sepenuhnya serta bersetuju untuk mengelakkan sebarang tindakan provokatif termasuk pergerakan ketenteraan dan penyebaran maklumat palsu atau berita tidak sahih.

“Turut dipersetujui kedua-dua pihak akan mengekalkan saluran komunikasi terbuka melalui mekanisme dua hala sedia ada,” katanya.

Nikorndej berkata Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan dari tarikh hari ini.

Sementara itu, mesyuarat susulan Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dijadual diadakan dalam tempoh dua minggu bagi menyelaras pelaksanaan perjanjian yang telah dicapai.

Mesyuarat Luar Biasa GBC itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan  Kemboja, Jeneral Tea Seiha, dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Turut hadir sebagai pemerhati ialah Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan