KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Industri getah Malaysia bukan sahaja perlu memenuhi piawaian global tetapi juga perlu menetapkan penanda aras baharu supaya kekal berdaya saing dalam pasaran bernilai tinggi, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Beliau menegaskan bahawa pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.
“Masa depan industri getah sangat luas, daripada inovasi perubatan sehingga mobiliti kemampanan. Namun, potensi ini hanya dapat direalisasikan menerusi kepimpinan ESG yang kukuh dan daya tahan sistemik.
“Kemampanan bukan lagi kelebihan dalam persaingan, sebaliknya kini menjadi prasyarat untuk akses pasaran. Pemegang taruh, iaitu pelabur, pembeli, pengguna dan pengawal selia, menuntut pelaksanaan ESG yang menyeluruh merentasi rantaian bekalan,” katanya semasa merasmikan Persidangan ESG Industri Getah Malaysia (MREC 2025) di sini hari ini.
Chan berkata Malaysia kini dikategorikan sebagai negara berisiko pertengahan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Namun, label itu tidak sepenuhnya mencerminkan kerangka kawal selia kita yang canggih atau realiti sebenar.
“Pengelasan ini memang wajar dipertikai. Tetapi daripada hanya membantah, Malaysia memilih untuk menunjukkan pematuhan melalui tindakan,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu termasuk melaksanakan strategi kemampanan yang komprehensif, berasaskan pengesahan aspek perundangan, kebolehkesanan, komitmen sifar penebangan hutan, perlindungan hak pekerja serta pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab.
“Kelima-lima tonggak ini membentuk asas kepada rangka kerja Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang dilancarkan oleh Lembaga Getah Malaysia pada Januari 2025,” kata beliau.
Bertemakan “Mencipta Peluang di Sebalik Cabaran Kemampanan”, MREC 2025 berlangsung pada waktu yang kritikal memandangkan Malaysia kini giat mempertingkatkan kebolehkesanan, pematuhan peraturan dan pengeluaran mampan dalam keseluruhan rantaian nilai industri getah.
Usaha ini amat bertepatan berikutan peningkatan pengawasan global, termasuk penguatkuasaan EUDR dan keperluan perdagangan berkaitan ESG yang lain.
Persidangan ini juga sejajar dengan strategi Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal komoditi mampan yang dipercayai di peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial