WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inisiatif Pembersihan Waktu Malam Akan Dimulakan Di Lokasi Strategik - Nga

08/08/2025 04:48 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memulakan inisiatif pembersihan waktu malam seperti yang digariskan di bawah Refomasi Pembersihan Awam menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), di beberapa lokasi strategik termasuk kawasan tumpuan pelancong dan pusat bandar utama.

Menterinya Nga Kor Ming berkata pendekatan baharu itu bertujuan meningkatkan tahap kebersihan awam tanpa mengganggu kelancaran lalu lintas selain menyediakan persekitaran yang lebih segar untuk petugas pembersihan.

"Apabila rakyat mula beristirehat, itulah masanya pekerja pembersihan kita akan mula bekerja dan apabila rakyat bangun di waktu pagi, Malaysia sudah bersih dan indah.

"Kita akan memulakan dengan destinasi pelancongan kerana tahun depan adalah Tahun Melawat Malaysia, oleh kerana itu lokasi strategik kita akan mula di ibu kota, seperti Jalan Bukit Bintang dan Jalan Alor, kerana cara pembersihan di tengah malam telah terbukti berjaya di bandar-bandar maju seperti Shanghai dan Shenzhen (di China), malah di beberapa negara membangun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Majlis Semarak Jiwa Merdeka@KPKT, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Rubaayah Osman menyerahkan Kit Kemerdekaan yang mengandungi Jalur Gemilang kepada Nga sebagai simbolik sambutan Bulan Kemerdekaan.

Nga berkata selain itu, beberapa inisiatif di bawah Reformasi Pembersihan Awam turut akan diperkenalkan antaranya jalan tanpa habuk, penggunaan kenderaan elektrik (EV) untuk lori sampah dan meningkatkan kekerapan kutipan sampah.

Beliau berkata KPKT juga akan memperhebat usaha menjadikan sisa pepejal sebagai sumber bernilai di bawah konsep tukar sampah untuk duit (From Trash to Cash) dan dari sisa ke tenaga (From Waste to Energy).

Katanya antara langkah utama adalah memperluas pelaksanaan pusat kitar semula pandu lalu di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mengitar semula bahan buangan.

“Mulai 1 Jan tahun depan, semua pusat beli-belah di negara ini diwajibkan mempunyai kemudahan kitar semula, tanpa kemudahan kitar semula lesen perniagaan tidak akan diluluskan.

"Kita juga akan memperluas pengasingan di sumber untuk meningkatkan kadar kitar semula negara, menuju ke arah menjadi negara maju kerana di negara Eropah, kadar kitar semula ialah kira-kira 65 peratus,” katanya.

Beliau berkata bagi inisatif sisa ke tenaga, Malaysia akan mengambil teknologi terbaik yang terbukti berkesan di negara lain, bagi menukar sisa pepejal kepada tenaga boleh diperbaharui yang disambungkan terus kepada grid nasional.

Dalam pada itu, Nga berkata Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang akan mensejahterakan rakyat khususnya di kawasan bandar, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini.

Media sebelum ini melaporkan pindaan Akta PSB menggariskan syarat ambang persetujuan pemilik bagi pembangunan semula bangunan berusia lebih 30 tahun diturunkan kepada 75 peratus manakala bagi bangunan berusia kurang daripada 30 tahun, ambang kekal pada 80 peratus.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan