WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mufti Besar Baitulmaqdis Dihalang Masuk Masjid Al-aqsa Selama 6 Bulan Lagi

07/08/2025 01:45 PM

GAZA, 7 Ogos (Bernama-WAFA) -- Pihak berkuasa Israel mengenakan larangan selama enam bulan terhadap Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Baitulmaqdis dan Wilayah Palestin, daripada memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Pentadbiran Baitulmaqdis yang memetik peguam Khaldoun Najm, keputusan itu dibuat selepas tamat tempoh larangan selama lapan hari sebelum ini.

Perintah terbaharu itu dilaporkan dikeluarkan susulan khutbah Jumaat beliau baru-baru ini yang mengutuk dasar penindasan Israel termasuk didakwa sengaja menyebabkan kebuluran terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Pasukan keselamatan Israel telah memanggil pemimpin agama itu pada 27 Julai dan menyerahkan perintah pengusiran selama lapan hari dari Masjid Al-Aqsa, dengan kemungkinan lanjutan.

Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai cubaan terang-terangan untuk menyingkirkan pihak berkuasa agama daripada Al-Aqsa serta membungkam suara yang menentang perancangan Israel.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian berkata larangan itu mencerminkan sejauh mana pelanggaran yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan khususnya di Masjid Al-Aqsa.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan