WILAYAH - TIMUR > BERITA

Skuad Elit Pasukan Keselamatan Antara Tumpuan Pengunjung PMR 2025 Kelantan

07/08/2025 02:07 PM

KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan terutama generasi muda cukup teruja apabila berpeluang melihat penampilan skuad elit pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada program di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Antara yang mengambil bahagian ialah Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR TEAM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lebih istimewa, anggota pasukan terlibat turut tampil lengkap dengan pakaian taktikal penuh termasuk membawa senjata HK MP5.

Selain menyaksikan demonstrasi, pengunjung juga berpeluang berswafoto bersama anggota pasukan, sekali gus memberikan pengalaman unik dan mengujakan yang dapat menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan.

Seorang pengunjung, Nur Amirah Husna Mohd Riduan, 16, berkata ini adalah pengalaman pertamanya melihat anggota skuad khas yang lengkap berpakaian taktikal secara dekat.

“Selalunya hanya lihat dalam televisyen, tetapi hari ini dapat jumpa depan mata. Sangat mengujakan dan membanggakan,” kata pelajar Sekolah Menengah Sains Gua Musang itu kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Nik Ahmad Anzalah Nik Zamri, 16, pelajar Pondok Pasir Tumboh berkata pendedahan seperti ini sangat bermanfaat dalam memupuk rasa cinta terhadap negara dalam kalangan belia.

“Saya memang bercita-cita menjadi anggota pasukan taktikal. Bila tengok sendiri dan berbual dengan mereka, semangat saya makin berkobar-kobar. Memang hebat, malah saya sempat bertanya tentang uniform yang dipakai, fungsinya serta bila ia digunakan,” katanya.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan