WILAYAH - TENGAH > BERITA

Tiga Pasukan WT Sah Sertai LTdL 2025

07/08/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Tiga pasukan berstatus WorldTeam (WT) antara 22 pasukan yang bakal berentap dalam edisi ke-29 jelajah berbasikal Le Tour De Langkawi (LTdL) pada 28 Sept hingga 5 Okt ini.

Selain itu, lapan pasukan ProTeam (PT) mengesahkan mengambil bahagian dalam saingan lapan hari itu selain 10 pasukan berstatus benua termasuk dua dari Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling serta sebuah pasukan kebangsaan iaitu Malaysia.

Pasukan WT berkenaan ialah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL dari Belanda yang dikenali sebagai DSM-Firmenich PostNL pada musim lepas dan Cofidis dari Perancis.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ariffin Mohd Ghani berkata penyertaan tiga pasukan itu menyamai jumlah penyertaan pasukan berstatus elit dalam edisi sebelum ini.

Menurutnya, enam daripada lapan pasukan PT yang mengambil bahagian itu turut berlumba dalam tiga jelajah Grand Tour iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility (Tour de France); VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Team Polti VisitMalta (Giro d'Italia) serta Burgos-BH (Vuelta a Espana).

“Dengan keseluruhan sembilan pasukan yang beraksi di Grand Tour, kita boleh menjangkakan bentuk saingan yang sengit dan menarik setiap hari, bermula dari Peringkat 1 di Pulau Langkawi hinggalah pengakhiran Peringkat 8 di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) nanti.

“Walaupun tiada peringkat pendakian berstatus Hors ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut, Peringkat 3 (Gerik-Pasir Puteh) dan Peringkat 5 (Temerloh-Bukit Fraser) akan menjadi medan penentuan dalam perebutan klasifikasi individu keseluruhan dan jersi Raja Bukit.

“Malah, perebutan itu dijangka akan diheret sehingga ke hari-hari terakhir kerana Peringkat 7 melibatkan kayuhan terpanjang sejauh 214.6 kilometer (km) dari Melaka-Medini, selain peringkat terakhir sejauh 180 km dari Tangkak ke KLCC,” katanya pada sidang media pengumuman pasukan hari ini.

Dalam pada itu, Ariffin berkata ketika ini setiap pasukan masih belum memberikan senarai penuh enam pelumba yang akan membawa cabaran mereka namun pihaknya percaya LTdL akan tetap menarik perhatian ramai peminat sukan berbasikal kerana mutu saingannya yang tinggi dan sengit di peringkat Asia.

“Penganjur sendiri berdebar-debar untuk melihat senarai akhir pelumba setiap pasukan kerana berdasarkan nama-nama itu nanti, kita boleh meramal strategi dan sasaran setiap pasukan, sama ada mahu mengutip kemenangan peringkat, memburu kedudukan individu keseluruhan, berpasukan keseluruhan, jersi Raja Bukit mahupun jersi Raja Pecut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL Emir Abdul Jalal berkata pihaknya masih belum mendapat pengesahan sama ada Picnic PostNL akan menyenaraikan juara keseluruhan musim lepas, Max Poole untuk mempertahankan Jersi Hijau individu bagi saingan tahun ini.

Bagaimanapun katanya beberapa pelumba ternama seperti Fabio Jakobsen, Alexander Kristoff dan Alberto Dainese akan mewakili pasukan masing-masing.

“Bagi kami, ini adalah satu penghormatan besar kerana saingan kali ini turut disertai tiga nama besar yang mempunyai koleksi kemenangan dalam jelajah Grand Tour dan pelbagai perlumbaan jelajah Eropah dan klasik sehari, sekali gus mengangkat profil dan imej LTdL itu sendiri,” katanya.

Menurut Emir, LTdL edisi kali ini yang merentasi semua 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,257.8 km masih merupakan antara jelajah terunggul di benua Asia berdasarkan jumlah penyertaan pasukan WT dan PT.

Sebagai perbandingan, Emir berkata jelajah bertaraf ProSeries Asia lain seperti Tour of Qinghai Lake pada tahun ini hanya menampilkan satu pasukan WT dan lapan pasukan PT manakala Tour of Hainan (1WT/4PT) dan Tour of Taihu Lake (1WT/2PT).

LTdL25 yang berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan