WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMR Kelantan 2025: Jualan Rahmah Madani Bantu Ringankan Perbelanjaan Rakyat

07/08/2025 08:33 PM

KOTA BHARU, 7 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan sememangnya dinanti-nantikan ramai bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran.

Inisiatif di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup, malah menjadikan PMR sebagai platform sehenti yang mesra rakyat.

Lebih istimewa, pengunjung turut boleh menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan mendapatkan minyak masak bersubsidi, menjadikan Program Jualan Rahmah MADANI sebagai antara komponen paling signifikan sepanjang PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Suri rumah Kamilah Mohamad Nor, 65, dari Kampung Seri Kemunting, Besut berkata Jualan Rahmah MADANI sangat membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.

“Biasanya saya belanja antara RM100 hingga RM150 setiap kali beli barangan asas seperti beras, bawang dan gandum di sini. Penjimatan jelas terasa dan cukup untuk menampung keperluan saya dan suami selama sebulan,” katanya kepada Bernama di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Sementara itu, Mariati Mat Zin, 52, menyifatkan Jualan Rahmah MADANI sebagai ‘selitan bijak’ yang memberi nilai tambah kepada PMR 2025 Kelantan.

“Saya ke PMR untuk pameran pertanian, tetapi bila nampak Jualan Rahmah, saya terus ambil peluang beli barang. Ia buat PMR ini lebih mesra rakyat dan menyeluruh,” katanya.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan