WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sistem Ternakan Moden Mampu Tingkat SSR Negara - Mohamad Sabu

07/08/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan sistem ternakan moden yang menekankan aspek biosekuriti tinggi mampu mengawal penularan penyakit demam babi Afrika (ASF) dengan lebih berkesan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad berkata langkah itu selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0, yang menekankan penggunaan teknologi moden sebagai sebahagian daripada transformasi sektor penternakan negara.

“Dalam jangka panjang, ASF dijangka menjadi antara penghalang utama kepada peningkatan pengeluaran domestik dan seterusnya menjejaskan sasaran kadar sara diri (SSR) daging negara.

“Sehubungan itu, peralihan kepada sistem modern pig farming merupakan langkah strategik yang tepat bagi memastikan peningkatan SSR,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung perancangan pelan pembangunan nasional untuk memulihkan sasaran SSR dapat dicapai dan keperluan memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membendung penularan ASF.

Mohamad berkata kementeriannya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan inisiatif R&D yang memfokuskan pengesanan dan pemahaman lebih mendalam terhadap virus ASF.

Antara inisiatif yang diambil ialah menjalankan kajian menyeluruh terhadap genetik virus ASF melalui pencirian genomik, menggunakan teknologi Whole Genome Sequencing

Beliau berkata teknologi berkenaan membolehkan pengenalpastian maklumat lengkap mengenai virus tersebut, termasuk tahap kebolehjangkitan, perubahan genetik serta membantu mengenal pasti punca jangkitan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan terdapat 15 rumah penyembelihan khinzir berlesen di Semenanjung yang tertumpu di Pulau Pinang, Johor, Perak, Selangor dan Pahang, berdasarkan data rasmi pemegang lesen operasi swasta.

Beliau berkata DVS sentiasa mempertimbangkan penambahan pusat penyembelihan khinzir baharu sekiranya pemohon mengemukakan permohonan lengkap dan memenuhi keperluan industri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan