KUANTAN, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pahang menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak mengeluarkan permit menjual rokok elektronik atau vape susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang mengharamkan penjualan produk itu pada 14 Mei lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Datuk Razali Kassim berkata pihaknya juga memberi tempoh sehingga Disember ini bagi penjual rokok elektronik di negeri berkenaan untuk menghabiskan stok yang masih ada.
“Saya harap mereka (peniaga) dapat habiskan stok, kalau tidak menjual (rokok elektronik) itu, lagi bagus,” katanya selepas melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) peringkat negeri Pahang di Jabatan Kesihatan Pahang di sini hari ini.
Pada 11 Jun lepas, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dilaporkan berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik di seluruh negeri berkenaan selepas mengambil kira fatwa pengharaman penggunaan rokok elektronik yang dikeluarkan pada 2016.
Selain itu, Razali berkata sebanyak 551 operasi penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah dilaksanakan di seluruh negeri dengan 10,161 premis diperiksa bagi tempoh 1 Okt 2024 sehingga 31 Julai tahun ini.
“Daripada operasi terbabit, sebanyak 7,390 notis kesalahan dikeluarkan terutamanya berkaitan amalan merokok dan 35 kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan pengiklanan, penjualan dalam talian, penjualan rokok elektronik berbentuk mainan dan penjualan produk merokok di bawah harga minimum,” katanya.
Bercakap mengenai Ops Selamat PaPa, Razali berkata sebanyak 418 penguat kuasa dari Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan kerjasama pelbagai agensi akan menjalankan operasi bersepadu itu di 28 lokasi sekitar Pahang sehingga Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial