WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Lengkapkan Siasatan Kes Lima Warga Iran Pukau, Curi Duit Pelancong Asing

07/08/2025 07:40 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Polis sedang melengkapkan kertas siasatan melibatkan lima warga Iran yang ditahan pada Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing di sekitar pusat bandar George Town dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua suspek berusia 19 hingga 35 tahun itu telah tamat tempoh reman pihak polis dan ketika ini sedang ditahan reman oleh Jabatan Imigresen (JIM) sehingga 15 Ogos ini.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan terdapat penglibatan mereka dalam kes-kes yang sama di tempat lain (negeri lain), namun masih belum ada penemuan setakat ini.

“Hasil siasatan menunjukkan mereka dipercayai terlibat dalam tiga kes yang dilaporkan di kawasan George Town dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata pihak polis juga masih menunggu maklum balas daripada JIM bagi pengesahan ketulenan pasport suspek termasuk sepasang suami isteri dan rekod keluar masuk mereka ke negara ini.

Mohd Alwi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 akta sama selain Seksyen 6 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sabtu lepas, polis menahan tiga lelaki dan dua wanita di Plaza Gurney dalam operasi Op Tourist bagi membantu siasatan kes curi wang pelancong asing yang dipercayai dipukau di sekitar pusat bandar dan mereka dipercayai mempunyai kepakaran serta kemahiran menjalankan jenayah itu.

Polis menerima tiga laporan kejadian curi wang tunai di kawasan Pulau Tikus dan Jalan Penang membabitkan pelancong warga Taiwan, Belanda dan Syria yang kesemuanya berusia 29 hingga 52 tahun, dari 30 Julai sehingga 1 Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan