WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Beranak Melecur Dalam Kebakaran Di P.Pinang

07/08/2025 08:41 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki dan anak perempuannya melecur pada badan serta kaki dalam kebakaran dua buah rumah di Jalan Permatang Damar Laut, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari sebelum jentera pertama bergerak ke lokasi kebakaran.

"Kebakaran melibatkan dua rumah yang terletak bersebelahan dan rumah pertama terbakar lebih 90 peratus manakala rumah kedua pula hanya 10 peratus sahaja, komander operasi melaporkan dua mangsa mengalami cedera melecur ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran yang mengambil masa kira-kira 10 minit untuk dikawal daripada merebak ke kediaman lain di kawasan tersebut. 

"Operasi tamat sepenuhnya pada 2.33 petang dan mangsa yang cedera menerima rawatan awal daripada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS)," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan