WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fakulti AI UTM Terima Lebih 60 Permohonan Antarabangsa Bagi Kohort Kedua

07/08/2025 08:27 PM

JOHOR BAHRU, 7 Ogos (Bernama) -- Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang pertama seumpamanya di negara ini, terus menarik perhatian pelajar antarabangsa dengan lebih 60 permohonan diterima bagi kemasukan kohort kedua Oktober ini.

Dekan fakulti itu Prof Dr Mohd Naz'ri Mahrin berkata jumlah berkenaan melibatkan calon antarabangsa yang memohon terus ke UTM tanpa melalui saluran Unit Pengambilan Universiti (UPU).

“Kohort pertama kita pada ketika ini seramai 114 pelajar termasuk 14 pelajar antarabangsa dari China, Bangladesh, Indonesia, dan Timur Tengah. Untuk kohort Oktober nanti, lebih 60 permohonan pelajar antarabangsa sudah dalam senarai tetapi belum muktamad,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. 

Beliau berkata sambutan memberangsangkan itu didorong reputasi global UTM yang kini berada pada kedudukan ke-153 dalam QS ranking universiti dunia serta pengiktirafan antarabangsa terhadap program akademik ditawarkan.

Selain itu, kedudukan UTM dalam kelompok ke-100 ranking subjek Sains Data dan AI juga antara faktor penyumbang kepada keyakinan pemohon untuk meneruskan pengajian bersama FAI UTM.

“Contohnya, pelajar antarabangsa memilih UTM kerana sijil kita diiktiraf dan membolehkan mereka menyambung pengajian atau bekerja di negara lain seperti Kanada, Australia dan Amerika Syarikat. Selain itu, Malaysia juga lebih strategik di samping kos sara hidupnya lebih rendah berbanding negara lain seperti Singapura,” katanya.

Beliau berkata program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian di FAI UTM ditawarkan selama tiga tahun, dengan tiga semester setahun dan merangkumi empat cabang utama iaitu Robotik dan Automasi, Informatik Kecerdasan, serta  AI Kreatif.

Mohd Naz'ri berkata fakulti berkenaan turut disokong lebih 60 tenaga pengajar dalam bidang AI selain 40 pakar dari bidang kejuruteraan, menjadikan keseluruhan staf akademik dan sokongan mencecah 150 orang ketika ini.

“Fakulti ini menerima peruntukan awal sebanyak RM20 juta. Selain melatih tenaga pakar dalam bidang AI, kita juga dipertanggungjawabkan untuk membantu universiti awam lain membangunkan program atau fakulti AI masing-masing,” katanya.

Fakulti AI UTM telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mei 2024 yang antara lain bertujuan melatih bakat AI dengan pengetahuan, kemahiran, etika, dan kompetensi dalam teknologi tersebut dengan fokus untuk menarik pelabur dalam dan luar negara sekali gus memperkukuh industri tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan