KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat khas kenderaan e-hailing serta memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adil dan saksama kepada pemandu.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius isu tular baru-baru ini berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak memberikan agihan secara adil dan saksama kepada semua pemandu.
“APAD ingin menegaskan bahawa semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat-syarat khas di bawah Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) Syarat Khas (Bahagian III - Operasi) Kenderaan e-Hailing, pemegang lesen perlu memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adalah adil dan saksama kepada pemandu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat berkenaan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A(9), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
“Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.
APAD memaklumkan agensi itu akan terus memastikan kesinambungan industri perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang adil, telus dan inklusif, serta bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap semua pihak berkepentingan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial