WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Kongsi Kepakaran Dengan Ombudsman Sarawak 

08/08/2025 03:18 PM

KUCHING, 8 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus menyokong Ombudsman Sarawak dalam usaha memperkukuh tadbir urus serta integriti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bantuan serta kerjasama dari segi perkongsian kepakaran serta peminjaman pegawai telah bermula sejak sebelum penubuhan Ombudsman Sarawak lagi.

“Sebelum penubuhan Ombudsman ini lagi kita telah hantar pegawai kita untuk buat sesi libat urus dan juga penanda aras di beberapa negara luar (bagi melihat model Ombudsman mereka).

“Pegawai-pegawai kita yang mahir dalam integriti juga telah dipinjamkan kepada Ombudsman Sarawak dan kerjasama ini akan kita teruskan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.

Pada 20 Nov 2023, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang Ombudsman Sarawak 2023 yang akan membenarkan orang ramai melaporkan salah tadbiran oleh agensi perkhidmatan awam negeri.

Rang Undang-undang Ombudsman itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi-agensi kerajaan, justeru memastikan wujudnya elemen semak dan imbang di samping membolehkan kerajaan menambah baik sistem dan prosedur penyampaian awamnya.

Sementara itu Azam berkata penubuhan Ombudsman Sarawak adalah penting kerana ia menyediakan platform khusus bagi memantau isu-isu berkaitan tadbir urus dan etika pentadbiran.

“Jika kita lihat negeri-negeri lain di Malaysia mereka tidak mempunyai Ombudsman mereka sendiri hanya di Sarawak sahaja. Ombudsman ini satu platform baik kerana ia satu badan khusus yang melihat kepada tatakelola dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan