WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pengarah Syarikat Didakwa Tipu Pelaburan RM155,000

12/08/2025 01:17 PM

JOHOR BAHRU, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat berpangkalan di Singapura hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan menipu tiga warga Singapura dan seorang warga tempatan berjumlah RM155,000 menerusi pelaburan syarikat, 10 tahun lepas.

Chong Kok Ming, 54, yang berstatus penduduk tetap (PR) Singapura, bersama seorang lelaki warga Singapura yang masih bebas didakwa memperdaya Lim Swee Chong, Lim Swee Joo, Ho Sang Bin dan Puah Kot Choon untuk menyerahkan wang ke dalam akaun sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.

Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa mempercayai mereka akan didaftarkan sebagai pemegang saham dalam sebuah syarikat tempatan dan berhak menerima dividen tahunan, sedangkan tertuduh mengetahui perkara itu tidak benar.

Jumlah wang yang terlibat ialah RM71,250 setiap seorang bagi Lim Swee Chong dan Lim Swee Joo, serta RM6,250 masing-masing bagi Ho Sang Bin dan Puah Kot Choon menjadikan keseluruhan RM155,000.

Chong didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Cengal, Taman Makmur, Batu Pahat pada 15 Okt 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Chan Lee menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam K. Veeranesh yang mewakili Chong memohon supaya wang jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang berpendapatan SGD10,000 sebulan menanggung seorang isteri dan dua anak berusia 21 dan 25 tahun. 

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Sept ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan