KULIM, 14 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 64 pekerja warga asing dalam serbuan berasingan di dua kilang di sekitar Padang Serai, dekat sini, semalam.
Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata kesemua warga asing itu ditahan dalam Operasi Mahir yang dijalankan dari pukul 11 pagi hingga 5 petang yang disertai agensi lain termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Dalam serbuan pertama yang dijalankan di sebuah kilang bateri, sebanyak 210 pekerja pelbagai warganegara telah diperiksa … daripada jumlah itu, 34 orang terdiri daripada 16 lelaki Bangladesh, 15 lelaki China, seorang lelaki Indonesia, seorang lelaki India dan seorang wanita Myanmar telah ditahan.
“Kesemua pekerja yang berumur antara 24 hingga 39 tahun itu didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada media, hari ini.
Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah kilang memproses bahan plastik, Mohd Ridzzuan berkata sebanyak 42 pekerja pelbagai warganegara telah diperiksa dan 30 orang ditahan atas kesalahan yang sama seperti serbuan pertama.
“Sebanyak 12 lelaki Bangladesh, 12 lelaki dan lima wanita Myanmar, serta seorang lelaki China yang berumur antara 29 hingga 45 tahun telah ditahan. Ketika serbuan, terdapat beberapa orang pekerja yang cuba melarikan diri ke dalam hutan dan kilang bersebelahan, tetapi gagal berikutan anggota penguat kuasa telah mengepung kawasan berkenaan.
“Operasi seperti ini akan terus dilaksanakan bagi mengekang majikan yang mengambil pekerja warga asing daripada terus menetap di negara ini secara haram,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial