BACHOK, 20 Ogos (Bernama) -- Sektor pertanian kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri ini dengan menyumbang lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan selepas sektor perkhidmatan yang mencatat lebih 69 peratus.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata sektor agromakanan dan pertanian negeri terus mencatatkan peningkatan hasil daripada usaha berterusan pelbagai jabatan dan agensi di samping peranan penting para peladang, penternak dan nelayan.
“Perubahan iklim dunia, ketidaktentuan serta krisis geopolitik, selain peperangan dan sekatan import eksport bekalan khususnya berkaitan makanan memberi kesan besar kepada semua terutama dari segi ekonomi dan survival rakyat. Ekoran itu, banyak pihak mula menekankan pentingnya kecukupan bekalan serta sumber makanan.
“Di Kelantan, kita telah lama berazam menjadi jelapang makanan negara dan sentiasa peka dengan menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi fokus kepada sumber, bekalan dan keterjaminan makanan negeri dan negara,” katanya.
Mohd Nassuruddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata transformasi sektor pertanian dan agromakanan sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan negeri dan meskipun proses itu mengambil masa untuk direalisasikan, pelaksanaan program serta projek berimpak tinggi tetap diteruskan seiring perubahan zaman.
“Kerjasama dengan pelbagai pihak juga menjadi pendekatan kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial