WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usaha Atasi Unsur Pengintipan, Perlumbaan F1 Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

21/08/2025 08:36 AM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Usaha kerajaan dalam mengatasi unsur pengintipan yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan kemampuan Malaysia menganjurkan semula perlumbaan Formula 1 (F1) antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah pencegahan dan intervensi bagi mengatasi unsur pengintipan yang berlaku hingga menjejaskan keselamatan negara. 

Pada sesi sama, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) bertanyakan Menteri Belia dan Sukan adakah Malaysia boleh menganjurkan F1 lagi dan langkah untuk memaksimumkan penggunaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) supaya membawa sumbangan dan manfaat kepada negara.

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada amalan perolehan secara runding terus masih diamalkan oleh agensi Tabung Haji, satu badan berkanun di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Pada sesi soal jawab pula, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengajukan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai perancangan menjadikan Sarawak sebagai hab keterjaminan makanan dalam dasar baharu, sejajar dengan kejayaan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) Sarawak.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pula meminta Menteri Kerja Raya menyatakan langkah untuk menangani masalah jalan-jalan utama di kawasan itu, termasuk jalan penghubung ke kilang dan laluan ke Northport yang mengalami kerosakan serius akibat kekerapan kenderaan berat berulang alik dan diletakkan secara tidak terkawal di tepi jalan.

Turut bertanyakan soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap ancaman varian COVID-19 yang terkini terhadap golongan berisiko tinggi, memandangkan negara mencatatkan 57 kematian tahun lepas.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi pembentangan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Pelesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025.

Persidangan kemudiannya menyambung sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 24 hari hingga 28 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan