WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDN Serius Tangani Ancaman Pengintipan - Saifuddin Nasution

21/08/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman pengintipan oleh elemen asing yang boleh menggugat keselamatan negara dan sedang melaksanakan langkah pencegahan serta intervensi secara menyeluruh bagi menanganinya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kegiatan pengintipan termasuk mendapatkan maklumat sensitif tanpa kebenaran, dilihat sebagai isu keselamatan yang perlu ditangani secara total, selaras dengan langkah negara-negara lain di seluruh dunia.

“Pengintipan ini ada modus operandinya yang khusus, bermula dengan mengenal pasti sasaran, mendapatkan data dan melakukan profiling, memahami struktur organisasi, merekrut orang dalam atau menyusup masuk melalui pelbagai saluran termasuk sebagai pelancong.

“Kalau orang dalam, dia janjikan habuan, ada juga orang dalam yang dia rekrut terpaksa tunduk kerana ugutan. Ada juga rekrut orang dalam ini, dia buat dengan menanam ideologi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) yang meminta kerajaan menyatakan langkah pencegahan dan intervensi bagi mengatasi unsur pengintipan yang berlaku hingga menjejaskan keselamatan negara. 

Saifuddin Nasution berkata modus operandi pengintipan juga dikesan dengan cara cyber espionage iaitu mendapatkan akses sistem maklumat melalui jaringan secara sulit.

“Dia buat cara phishing ataupun diselitkan malware atau spyware dan dia akan curi maklumat sedikit demi sedikit. Maklumat yang dia dah dapat, dia akan kirim balik kepada tuan dia melalui dark web ataupun melalui encrypted communication. Kalau kita orang biasa tengok tak faham sebab dia akan menggunakan segala macam sistem coding,” katanya.

Mengambil contoh satu kes pengintipan yang berlaku pada 28 Sept 2022, melibatkan seorang wanita tempatan Nidarahayu Zainal, beliau berkata mangsa direkrut oleh agensi perisikan Israel Mossad untuk menculik dua warga Palestin di Malaysia.

“Nidarahayu yang hanya berkelulusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan mempunyai tiga anak, direkrut untuk menculik...Kita dapat selamatkan dua lelaki Palestin ini dan Nidarahayu ditangkap dan sekarang, sedang dibicarakan. Ini satu contoh bagaimana modus operandi pengintipan dibuat untuk tujuan politik,” katanya.

Bagi mengekang ancaman itu, beliau berkata KDN telah melaksanakan pendekatan tiga peringkat meliputi pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan.

“Pencegahan dilakukan melalui pemantauan individu yang disyaki, penambahbaikan kepakaran unit siber agensi perisikan serta kerjasama dengan badan antarabangsa seperti Interpol dan Aseanapol.

“Penguatkuasaan pula dilaksanakan menerusi pelbagai akta sedia ada termasuk Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Roy Angau mengenai tindakan terhadap pengintip asing yang ditahan di Malaysia, Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa mereka akan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman.

“Kita akan deport mereka dan masukkan dalam senarai hitam. Jika ada perjanjian ekstradisi dengan negara asal dan mereka dikehendaki di sana, kita akan laksanakan ekstradisi,” katanya sambil menyatakan Malaysia mempunyai perjanjian ekstradisi dengan 11 negara termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand dan Australia.

Menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang bertanyakan jumlah negara asing yang menghantar ejen pengintipan mereka ke Malaysia, beliau berkata kehadiran mereka ini sukar dikenal pasti kerana sifat operasi yang sangat rahsia dan terancang.

“Sebab itu, saya katakan kita guna pakai tiga kaedah tadi (untuk kesan). Kita mesti lebih kompeten dari segi perisikan. Kalau ditanya kepada saya, kita punya keupayaan sangat baik dalam membuat pengesanan,” katanya.

Beliau berkata kompetensi Malaysia dalam perisikan penting kerana Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi sasaran negara asing susulan pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara dalam isu antarabangsa, termasuk sokongan terhadap Palestin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan