WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMR 2025 Negeri Sembilan Tampilkan Pengisian Digital, Interaktif

22/08/2025 09:13 AM

SEREMBAN, 22 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan membuka tirainya hari ini di Dataran Nilai dengan pelbagai pengisian menarik bertemakan pendigitalan, dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Bersesuaian dengan temanya “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti”, PMR Negeri Sembilan diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah.

Program selama tiga hari ini memberi ruang kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat selain mempamerkan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan digital yang ditawarkan.

Antara agensi mengambil bahagian termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menampilkan inovasi digital tempatan serta mempromosikan peluang dalam ekonomi digital, CyberSecurity Malaysia (CSM) yang menekankan aspek kesedaran mengenai isu keselamatan siber dan ancaman penipuan dalam talian.

Jabatan Digital Negara (JDN) pula memperkenalkan dasar dan inisiatif digital negara manakala Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menekankan kepentingan melindungi data peribadi dalam era digital.

Sepanjang program,  pelbagai inisiatif mesra rakyat turut disediakan antaranya Digital Career Fair yang menawarkan lebih 500 kekosongan jawatan, program penukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jualan Rahmah MADANI dengan potongan harga hingga 30 peratus.

Turut ditawarkan perkhidmatan pertukaran minyak hitam motosikal dan gunting rambut secara percuma serta pelbagai pilihan hidangan menarik di gerai  ‘Selera Nogori’.

Pengunjung juga berpeluang menikmati tayangan percuma  filem Ejen Ali: The Movie di pentas utama pada Sabtu, kehadiran maskot popular seperti Upin & Ipin dan Boboiboy, cabutan bertuah dengan hadiah menarik, serta pelbagai perkhidmatan bergerak termasuk klinik pergigian, Wellness on Wheels, Cafe Teen, dan perkhidmatan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Kesemua inisiatif ini bertujuan memperkasakan masyarakat dengan ilmu, kemahiran dan peluang baharu dalam dunia digital, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Kemuncak program dijadual berlangsung pada Sabtu dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merasmikan PMR Negeri Sembilan sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda digital negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan