WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MBSB, DayOne Umum Kerjasama Strategik Pacu Ekonomi Digital Johor

22/08/2025 08:34 PM

JOHOR BAHRU, 22 Ogos (Bernama) -- MBSB Bhd (MBSB) dan DayOne Data Centres hari ini memeterai kerjasama strategik untuk membantu memacu pembangunan infrastruktur digital serta transformasi ekonomi Johor selaras dengan agenda Johor Maju 2030.

Kerjasama ini disokong oleh kemudahan pembiayaan Islam RM1.2 bilion daripada MBSB Bank, yang berperanan sebagai penyelaras utama mandat bagi pembiayaan bersama untuk projek DayOne di bawah WG Data Hub Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Rafe Haneef berkata pembiayaan RM1.2 bilion kepada DayOne merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM15 bilion, yang merangkumi RM7.5 bilion dalam bentuk pembiayaan dolar Amerika Syarikat (AS) dan RM7.5 bilion lagi melalui pembiayaan Islam tempatan.

Beliau berkata pembiayaan itu dilaksanakan menerusi sindiket bersama dengan beberapa bank tempatan dan berteraskan konsep pembiayaan lestari.

“DayOne telah memperoleh pensijilan ‘Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Gold’ dari AS, sekali gus mengiktirafnya sebagai pusat data bertaraf tinggi dari segi kelestarian.

“DayOne juga sebahagian daripada kumpulan GDS Holdings dari China, yang telah beroperasi lebih 20 tahun serta memiliki lebih 90 pusat data di rantau ini termasuk Malaysia, Singapura dan Indonesia,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian di pusat data DayOne di Nusajaya di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Rafe berkata inisiatif tersebut menjadi langkah pertama ke arah menjadikan Johor sebagai hab pusat data serantau, sebelum memperluas pembangunan kepada sektor kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Lee Ting Han berkata kerjasama strategik antara MBSB dan DayOne membuktikan kerjasama industri boleh menyumbang secara langsung kepada transformasi digital, pertumbuhan mampan dan pewujudan pekerjaan berimpak tinggi untuk rakyat Johor.

Beliau berkata pembiayaan itu mencerminkan keyakinan bank tempatan terhadap sektor tersebut yang semakin berkembang pesat di Johor.

Johor kini berkembang daripada hampir tiada pusat data tiga tahun lepas kepada 13 yang telah beroperasi, manakala 15 lagi sedang dalam pembinaan, katanya.

"Sektor ini telah memberi impak positif kepada ekonomi negeri termasuk peluang pekerjaan untuk kontraktor, jurutera, jurukur, akauntan, peguam dan profesional lain.

“Lebih penting, kita sudah mula melihat penglibatan aktif bank-bank serta syarikat tempatan, sekali gus mengesahkan bahawa sektor ini mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata Johor turut mencatatkan pelaburan bernilai RM56 bilion pada separuh pertama 2025.

Antara penyumbang utama ialah sektor pusat data, petrokimia, elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, katanya.

“Kita akan terus mengalu-alukan lebih banyak penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian sektor pusat data bagi memastikan manfaat pelaburan multinasional dapat dinikmati secara langsung oleh ekonomi tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan