WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Siasat Video Tular Murid Kejar Kereta Ibu Di Seri Kembangan

22/08/2025 11:36 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu video tular memaparkan seorang murid berlari mengejar kereta dipandu ibunya setelah tertinggal di hadapan sebuah sekolah rendah di Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada ibu kanak-kanak berkenaan yang merupakan seorang suri rumah berumur 37 tahun.

Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku kira-kira 12 tengah hari 20 Ogos ketika suri rumah berkenaan mengambil pasangan anak kembarnya dari sekolah, namun semasa membuat pusingan U wanita itu menyedari ketiadaan seorang daripada anaknya di dalam kereta.

“Pengadu terus memberhentikan kenderaan setelah melihat anak lelakinya mengejar kereta dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhamad Farid berkata video berdurasi seminit berkenaan telah dimuat naik oleh satu akaun Facebook dengan kapsyen ‘marah anak janganlah tergamak buat sampai macam tu sekali’ dan telah mengundang pelbagai komen negatif daripada pengguna media sosial terhadap wanita itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Kes masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

– BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan