WILAYAH - SARAWAK > BERITA

74 Peluncur Papan Selaju ASEAN Sertai Terbuka Malaysia Di Pulau Pinang

22/08/2025 11:12 PM

KEPALA BATAS, 22 Ogos (Bernama) -- 74 peluncur papan selaju dari Asia Tenggara berkumpul di Pokok Sena Skatepark di sini pada Terbuka Malaysia 2025 sekali gus menandakan perasmian Liga Papan Selaju ASEAN (Skate Tour ASEAN) (STA).

Sebagai liga papan selaju berstruktur pertama di rantau ini, STA diwujudkan bagi menghimpunkan peluncur-peluncur terbaik Asia Tenggara di bawah satu kerangka pertandingan.

Presiden Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MYSKATE) Idroose Tambarin berkata edisi sulung STA itu telah menarik penyertaan 74 atlet termasuk 32 peluncur daripada Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Kemboja bersama 42 peluncur Malaysia.

Beliau berkata empat kategori utama liga berkenaan ialah Men’s Street, Women’s Street, Men’s Park dan Women’s Park dengan sasaran utama untuk meningkatkan tahap luncur papan selaju di ASEAN di samping membina pertukaran budaya, semangat komuniti dan esosistem kompetitif yang lebih kukuh bagi sukan tersebut. 

“STA lebih sekadar satu pertandingan, ia ialah suatu platform untuk berkembang, budaya dan peluang. Kami berbangga buat julung kalinya menganjurkan Terbuka Malaysia dan menyediakan gelanggang di mana atlet kita dapat menguji diri mereka menentang yang terbaik di ASEAN selain memberi inspirasi kepada generasi peluncur akan datang,” katanya selepas melancarkan STA, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang Mozakir Buyong Mokhtar.

Dalam detik simbolik untuk luncur papan selaju Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyampaikan Geran Padanan Sukan bernilai RM160,000, menekankan komitmen kerajaan untuk membangunkan sukan itu sebagai gerakan sukan dan kebudayaan di Malaysia.

Turut diadakan malam ini ialah acara ‘Community Jam’ (terbuka) yang mengumpulkan para atlet bertanding bersama komuniti tempatan penggiat sukan itu.

Peluncur dari pelbagai peringkat berkongsi arena dalam format ‘Cash For Trick’, meraikan budaya luncur papan selaju dan semangat keterangkuman.

Pertandingan diteruskan esok dengan Separuh Akhir Women’s Street dan Men’s Street serta pusingan kelayakan Wanita dan Lelaki bagi mengumpul mata ke Sukan SEA.

Perlawanan akhir bagi keempat-empat kategori akan berlangsung pada Ahad diikuti upacara penyampaian hadiah.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan