MELAKA, 24 Ogos (Bernama) -- Dua kereta dan satu motosikal terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di sebuah kediaman di Taman Bukit Katil Permai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kebakaran itu kira-kira 1.38 tengah hari menerusi panggilan kecemasan MERS 999.
“Siasatan awal mendapati dua kereta jenis Perodua Bezza dan Axia yang diparkir di garaj rumah serta sebuah motosikal jenis SYM yang ditinggalkan di tengah jalan hangus terbakar. Jumlah kerugian belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata tiada saksi ditemukan setakat ini, namun pihak polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa bagi membantu siasatan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang suspek dipercayai meninggalkan motosikal terbakar itu di lokasi kejadian dan usaha mengesan individu terbabit sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaaan kerana khianat dengan api.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Khairul Naim Abu Kasim berkata sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Kejadian melibatkan sebuah motosikal terbakar sebanyak 50 peratus dan dua kereta kira-kira dua peratus.
“Api bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba," katanya.
Semalam tular melalui Facebook video berdurasi 42 saat memaparkan tindakan suspek menaiki motosikal melempar sejenis cecair menggunakan baldi sebelum membakar kereta terbabit manakala motosikal ditunggangnya itu turut disambar api.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial