WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pegawai Perubatan Rugi RM2.6 Juta Diperdaya Pelaburan Tidak Wujud

28/08/2025 02:13 PM

JOHOR BAHRU, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang pegawai perubatan kerugian RM2.6 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan menerusi iklan di media sosial.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata lelaki tempatan berusia 45 tahun itu mula berminat selepas melihat iklan pelaburan berkenaan pada 25 Mei lepas sebelum menekan pautan WhatsApp yang tertera dan seterusnya berhubung dengan suspek.

Beliau berkata mangsa telah dijanjikan pulangan pelaburan antara lima hingga 15 peratus menerusi pelaburan dengan sebuah syarikat di luar negara dan diminta memuat turun sebuah aplikasi kononnya bagi membolehkan memantau pelaburan.

“Percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan, mangsa telah membuat 56 kali transaksi pindahan wang berjumlah RM2,603,900 ke lapan akaun bank seperti diarahkan suspek bermula 25 Mei hingga 8 Ogos,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata lelaki itu yang menyedari diperdaya setelah gagal membuat pengeluaran wang pelaburan melalui aplikasi yang diberikan telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Polis menyeru orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tanpa risiko atau pelaburan yang memberi jaminan pasti untung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan