WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Perkukuh Kerjasama Dengan Pulau Pinang Dalam Industri Semikonduktor

28/08/2025 06:23 PM

GEORGE TOWN, 28 Ogos (Bernama) -- Sarawak mengeratkan lagi kerjasama strategik dengan Pulau Pinang dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan dan ekosistem industri semikonduktor negara terutama dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata kerjasama dan hubungan akrab antara dua negeri dengan berkongsi kepakaran serta kekuatan dalam industri semikonduktor juga mampu memacu aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab teknologi tinggi serantau.

Beliau berkata dua negeri itu juga menumpukan kepada usaha melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan semikonduktor termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan bakat dan infrastruktur sokongan.

"Pulau Pinang sudah mempunyai banyak syarikat global dalam industri itu manakala Sarawak pula mempunyai syarikat lain yang boleh melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan dalam semikonduktor.

"Kita ada kekuatan sendiri, jadi kalau bekerjasama kita akan dapat meningkatkan pengembangan semikonduktor termasuk R&D dan pembangunan bakat serta mampu mengembangkan sektor tersebut dengan lebih pantas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata demikian selepas merasmikan Forum Pelaburan Semikonduktor Sarawak, yang dihadiri kalangan peserta industri semikonduktor Pulau Pinang dan Sarawak.

Forum itu dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) bersama InvestSarawak dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia.

Awang Tengah berkata MINTRED sedang giat memacu transformasi Sarawak untuk menjadi hab pelaburan teknologi dan semikonduktor termaju selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Beliau berkata acara itu dianjurkan di Pulau Pinang, yang terkenal dengan sektor E&E di Malaysia, untuk menggalakkan lagi penglibatan strategik dan meletakkan Sarawak sebagai peserta yang semakin meningkat dalam ekosistem teknologi tinggi.

"Forum itu menjadi platform untuk menyerlahkan infrastruktur sedia pelaburan di Sarawak, pelan hala tuju perindustrian dan peluang perkongsian awam-swasta untuk semikonduktor serta meningkatkan kerjasama antara agensi Sarawak dengan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata Sarawak juga komited untuk membangunkan ekosistem semikonduktor yang bersepadu sepenuhnya dan berdaya tahan dengan memberi tumpuan kepada segmen bernilai tinggi seperti reka bentuk cip, semikonduktor kompaun, pembungkusan dan pengujian termaju.

Terdahulu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak itu turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di pejabatnya di Komtar.

Kedua-duanya membincangkan mengenai kerjasama Sarawak dalam industri semikonduktor dengan Pulau Pinang yang dianggap sebagai negeri pelopor industri semikonduktor negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan