WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelayakan Piala Asia B-23: Malaysia Dapat Semula Khidmat Tiga Pemain Utama

31/08/2025 01:03 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos (Bernama) -- Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan mendapatkan semula khidmat tiga pemain utama menjelang saingan Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand dari 3 hingga 9 Sept ini.

Tonggak pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney sebelum ini tidak disenaraikan oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain dalam kem latihan pusat di Thailand yang bermula sejak 18 Ogos.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagaimanapun hari ini mengesahkan ketiga-tiga mereka berada dalam senarai akhir 23 pemain skuad Harimau Muda yang bakal berdepan cabaran getir pasukan tuan rumah, Lubnan dan Mongolia.

Muhammad Ubaidullah dilaporkan telah menyertai sesi latihan pasukan sejak awal minggu lepas sementara Muhammad Aliff dan Fergus dijangka melengkapkan skuad dalam tempoh terdekat selepas kedua-duanya disenaraikan dalam pasukan masing-masing bagi aksi Liga Super minggu ini.

Kehadiran Muhammad Ubaidullah dan Muhammad Aliff, iaitu dua pemain yang diberi tanggungjawab sebagai kapten sebelum ini dijangka mengukuhkan struktur pasukan dari aspek pengalaman dan kepimpinan di atas padang sementara Fergus mampu menambah sengat di bahagian serangan.

Skuad bimbingan Nafuzi akan membuka kempen menentang Lubnan pada 3 Sept, diikuti aksi bertemu Mongolia (6 Sept) sebelum berdepan Thailand dalam aksi terakhir (9 Sept) dengan kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Stadium Thammasat.

Hanya sebelas juara kumpulan dan empat naib juara terbaik layak ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.

Pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dilihat sebagai medan ‘penebusan’ skuad B-23 selepas anak buah Nafuzi tampil dengan persembahan mengecewakan pada saingan Piala ASEAN B-23 apabila terkandas di peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, Malaysia layak ke Piala Asia B-23 pada edisi 2022 di Uzbekistan dan 2024 di Qatar dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

Berikut senarai 23 pemain skuad B-23 kebangsaan kendalian Nafuzi Zain bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Thailand dari 3 hingga 9 Sept:

 

   
Zulhilmi Sharani Penjaga Gol
Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri Penjaga Gol
Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa Penjaga Gol
Muhamad Faris Danish Mohd Asrul Pertahanan
Moses Raj Pertahanan
Ahmad Haziq Kutty Abba Pertahanan
Muhammad Akmal Hakim Rosli Pertahanan
Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili Pertahanan
Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri Pertahanan
Muhammad Shafizan Mohamad Arshad Tengah
Ziad El Basheer Norhisham Tengah
Danish Hakimi Sahaludin Tengah
Muhammad Abu Khalil Tengah
Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon Tengah
Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil Tengah
Muhammad Alif Ahmad Tengah
Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi Tengah
Fergus Tierney Penyerang
Muhammad Aliff Izwan Yuslan Penyerang
Muhammad Nabil Qayyum Zainuddin Penyerang
Muhammad Haqimi Azim Rosli Penyerang
Muhammad Aiman Danish Abd Aziz Penyerang
Muhammad Syukur Fariz Januri Penyerang


-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan