GEORGE TOWN, 1 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang hari ini menahan lima anggota polis termasuk seorang pegawai kanan disyaki meminta dan menerima rasuah hampir RM9,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan memiliki motosikal curi.
Menurut sumber, kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan antara 2 hingga 5 petang tadi di pejabat SPRM Pulau Pinang di sini ketika hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada Jumaat lepas dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Seberang Perai.
“Seorang daripada suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah secara tunai daripada seorang individu yang juga pemilik bengkel motosikal yang terlibat dalam operasi itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata kesemua suspek ditahan 24 jam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial