WILAYAH - UTARA > BERITA

Hari Kebangsaan: Lebih 5,000 Penganut Buddha Doa Kesejahteraan Malaysia

01/09/2025 04:25 PM

GEORGE TOWN, 1 Sept (Bernama) -- Sehari selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-68, lebih 5,000 penganut Buddha berhimpun di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Phor Tay, Sungai Dua di sini, bagi menjayakan program Merdeka Blessings dan Maha Sanghikadana sebagai simbol doa dan kebajikan untuk kesejahteraan negara.

Program anjuran United Buddhist Order of Malaysia (UBOM) dengan kerjasama Konsulat Jeneral Thailand di Pulau Pinang bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan perarakan senyap lebih 160 sami berkaki ayam dari Malaysia, Singapura, Thailand, dan Indonesia yang membawa mangkuk sedekah.

Orang ramai mula memenuhi pekarangan sekolah sejak pukul 6.30 pagi bagi memberi derma kepada sami, termasuk sumbangan berbentuk makanan, keperluan harian, dan jubah.

Naib Pengerusi UBOM Dr Yeap Gim Ean berkata program tahunan itu bukan sahaja menyemarakkan nilai kebajikan, malah memupuk perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.

“Program ini dianjurkan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk setempat serta menanam nilai belas kasihan, terutamanya terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

“Kami juga menekankan kepentingan perpaduan dan kasih sayang dalam membina negara aman sejahtera, lebih-lebih lagi bersempena sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Turut hadir ialah Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang Psusist Wongsurawat serta Penasihat Program Datuk Seri Steven Ooi.

Steven berkata penganjuran program secara besar-besaran itu bukan sahaja mengangkat amalan spiritual, tetapi juga menjadi simbol sumbangan masyarakat Buddha terhadap keharmonian negara serta doa agar Malaysia terus makmur dan bersatu.

Beliau menambah dengan penyertaan dan sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai, program ini akan diteruskan serta diperkasakan pada masa hadapan demi mendukung nilai perpaduan dan kemanusiaan.

Majlis turut diserikan dengan bacaan paritta (doa kesejahteraan) khusus untuk negara, kepemimpinan, serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan