WILAYAH - SELATAN > BERITA

Lima Rakan Sekerja Didakwa Seleweng Minyak Diesel Lebih 20,000 Liter

04/09/2025 01:56 PM

SEREMBAN, 4 Sept (Bernama) -- Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeleweng 20,250 liter minyak diesel tanpa lesen tahun lepas.

Tertuduh, S. Rajakumar, 35; V. Maran, 23; E. Kunaal, 23; R. Poobalan, 44; dan S. Kalithas, 31, didakwa secara bersama memiliki minyak diesel yang dikategorikan sebagai barang kawalan, membabitkan jumlah 955 liter, 3,424 liter dan 15,871 liter, yang disimpan dalam tangki simpanan pukal (IBC) serta dua lori tangki berasingan.

Perbuatan itu menimbulkan syak munasabah bahawa mereka berurusan dengan minyak diesel secara runcit tanpa lesen di sebuah premis di Mukim Labu, kira-kira 4.30 petang pada 20 Feb 2024. Kesalahan itu didakwa di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama, memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah. Dalam prosiding, Rajakumar berdepan dua pertuduhan manakala empat lagi masing-masing satu pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, selain syarat tambahan menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat KPDN negeri setiap bulan serta tidak menganggu saksi.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum dengan alasan berpendapatan rendah, menanggung keluarga selain ada yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan serta mengekalkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Nov ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan