WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM, MCMC Tumpaskan Sindiket SMS Scam Guna Fake BTS

06/09/2025 10:02 AM

PUTRAJAYA, 6 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram dikenali sebagai Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi operasi bersepadu Op Pancing baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil risikan dan aduan awam membawa kepada penahanan seorang individu yang mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat beli-belah utama di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif, dan ujian frekuensi mengesahkan ia digunakan untuk menghantar SMS palsu mengandungi pautan phishing serta mesej berunsur perjudian kepada orang awam,” menurut kenyataan itu.

Susulan tangkapan tersebut, MCMC dengan bantuan PDRM menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.

Siasatan awal turut mengenal pasti modus operandi baharu sindiket, iaitu mengubah suai peralatan Fake BTS untuk beroperasi secara mudah alih.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 45 barangan bernilai kira-kira RM100,000 dirampas, manakala seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan