WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Sapura Energy: SPRM Laksana Pemulihan Wang RM12 Juta

09/09/2025 02:40 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan pemulihan wang berjumlah RM12 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua kes melibatkan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas, Sapura Energy Bhd (SEB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu diputuskan selepas pihaknya bersama Timbalan Pendakwa Raya (TPR) mencapai persetujuan untuk melaksanakan proses berkenaan.

“Maka SPRM dengan persetujuan TPR akan membuat pemulihan (recovery) RM12 juta tersebut dalam tempoh terdekat. Wang itu akan dilucut hak dan dikembalikan kepada kerajaan.

“Pihak TPR akan mempertimbangkan sama ada akan ada pertuduhan atau sebaliknya terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Kes berkenaan berlaku pada 2018 iaitu ketika Permodalan Nasional Bhd (PNB) membuat suntikan dana ke dalam SEB sehingga menjadikan syarikat itu sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau sebelum ini memaklumkan SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna dana berjumlah RM12 juta melibatkan SEB.

"Satu lagi kes (SEB) yang disiasat melibatkan (aset) daripada luar negara masih lagi  dijalankan," katanya.

Sementara itu, Azam berkata sembilan lagi individu akan didakwa dalam kes pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan projek Lebuh Raya MEX II.

Tanpa mendedahkan identiti mereka, beliau berkata semua individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan transaksi kewangan bersama Pengarah Syarikat Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Semalam, TPR SPRM Datuk Ahmad Akram Gharib mengesahkan Abu Sahid akan didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam dalam masa terdekat, atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana membabitkan projek sama.

Dalam kenyataan berasingan, Ahmad Akram turut memaklumkan seorang bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, juga akan didakwa di mahkamah sama berhubung projek berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan