WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUN Johor Pilih Pengerusi MCA Bahagian Kota Tinggi Sebagai Senator

11/09/2025 01:11 PM

ISKANDAR PUTERI, 11 Sept (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini bersetuju mencalonkan Pengerusi MCA Bahagian Kota Tinggi Datuk Ng Keng Heng untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun. 

 Pemilihan beliau diusulkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri.

Pelantikan itu dibuat mengikut Jadual Ketujuh Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan dan diisytiharkan oleh Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Onn Hafiz berkata Ng merupakan seorang tokoh berwibawa yang memiliki latar pendidikan dan mempunyai pengalaman luas bukan sahaja dalam bidang politik sejak menceburinya pada 1996, tetapi juga organisasi dan masyarakat.

“Sumbangan beliau jelas mencerminkan dedikasi tinggi terhadap pembangunan komuniti dan kemajuan negeri secara keseluruhannya,” katanya ketika mencadangkan pelantikan itu.

 Ng, 57, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Sumber Manusia daripada Open Universiti Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar daripada Universiti Teknologi Malaysia pernah memegang pelbagai jawatan.

Antara jawatan itu ialah Ahli Majlis Daerah Kota Tinggi mulai 2001 hingga 2018, Pengerusi Alat-Alat Ganti Kenderaan Terpakai Negeri Johor, Pengerusi Keturunan Huang Johor Bahru dan Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan