WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMPA 2025 Lahirkan Generasi Peguam Perundangan Angkasa Baharu

12/09/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pertandingan Mahkamah Mut Perundangan Angkasa (PMPA 2025) yang julung-julung kali dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal menjadi platform melahirkan bakat baharu serta membangunkan kepakaran dalam bidang perundangan angkasa di Malaysia.

Penguasa Angkasa MOSTI Mhd Fairos Asillam berkata pertandingan itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan Triti Angkasa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ketika ini, perundangan angkasa hanya ditawarkan sebagai subjek elektif di dua universiti, iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Justeru, penganjuran pertandingan ini penting bagi meningkatkan minat generasi baharu dalam bidang ini sekali gus menjulang nama Malaysia,” katanya selepas ditemu bual Bernama Radio di sini hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu turut memberikan pendedahan kepada masyarakat, khususnya mahasiswa dan akademia fakulti undang-undang di institusi pengajian tinggi tempatan.

PMPA 2025 akan berlangsung dari 5 hingga 7 Dis ini di USIM, Nilai, Negeri Sembilan dengan penyertaan terbuka kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Pertandingan berbentuk simulasi perbicaraan mahkamah itu akan mengetengahkan isu berkaitan dengan undang-undang angkasa.

Penganjuran PMPA 2025 juga berkait rapat dengan Manfred Lachs Space Moot Court Competition (MLMSC) anjuran International Institute of Space Law yang diiktiraf sebagai pemerhati kepada Jawatankuasa PBB mengenai Penggunaan Angkasa Lepas Secara Aman (UNCOPUOS).

Mhd Fairos berkata MLMSC merupakan pertandingan perundangan angkasa berprestij yang memberikan pendedahan kepada situasi mahkamah sebenar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

“Johan PMPA 2025 akan ditaja bagi mewakili Malaysia ke peringkat Asia Pasifik MLMSC di satu daripada negara di rantau itu. Keunikan edisi sulung ini ialah pendaftaran percuma dengan penajaan penuh bagi penginapan dan makan minum peserta,” katanya.

Beliau berkata daya saing Malaysia dalam sektor angkasa global dijangka meningkat melalui penghasilan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang strategik seperti undang-undang dan teknologi angkasa.

PMPA 2025 turut diharap dapat melahirkan kumpulan pertama mahasiswa dengan kepakaran asas dalam advokasi undang-undang angkasa, selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030.

Mhd Fairos berkata pertandingan itu juga penting dalam memastikan Akta 834 dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyokong pembangunan industri angkasa negara.

Pendaftaran penyertaan masih dibuka hingga 30 Sept, dengan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi PMPA 2025, iaitu https://spacelawmootcourt.usim.edu.my

Penganjuran PMPA 2025 diterajui Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI dengan kerjasama USIM serta sokongan Rakan Pelaksana Strategik, Yayasan Inovasi Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan