WILAYAH - SABAH > BERITA

415 Mangsa Banjir Di Sabah Berada Di Pusat Pemindahan

15/09/2025 10:11 AM

KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Seramai 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Sabah setakat 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan, 155 orang daripada 51 keluarga ditempatkan di PPK Selagon, Beaufort yang dibuka sejak 9 Sept lalu.

“Dua lagi PPS ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, Kolopis yang menempatkan 59 orang daripada 19 keluarga, manakala Dewan Huguan Siou menempatkan 142 mangsa daripada 32 keluarga,” menurut JPBN dalam kenyataan hari ini.

JPBN memaklumkan PPS Sk St Paul menunjukkan jumlah mangsa semakin meningkat berikutan hujan berterusan sejak malam tadi manakala di Dewan Huguan Siou trend mangsa menurun.

“Sebanyak 22 kampung terjejas akibat banjir iaitu 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan pedalaman Sabah melibatkan Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan; serta di Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut memaklumkan sebuah lagi PPS iaitu Dewan Masyarakat Bongawan telah dibuka pada 8.22 pagi tadi.

Pembukaan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati kawasan dan rumah penduduk terjejas bencana (PTB) tidak selamat untuk didiami.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan