Oleh Arthur Edward
KUDAT, 15 Sept (Bernama) -- Pulau Banggi, pulau terbesar di Malaysia, yang dahulunya hanya rimba belantara tanpa kemudahan, kini menemui identiti dirinya sebagai sebuah pulau yang membangun demi kesejahteraan penduduk setempat.
Setiap ayunan feri dan bot laju yang membelah ombak dari tanah besar Kudat, sejauh kira-kira 70 kilometer, membawa penumpang ke dunia yang kini penuh dengan jalan berturap, menara telekomunikasi dan aliran elektrik yang telah mengubah ritma kehidupan penduduk tempatan.
Transformasi ini telah mengubah jiwa serta semangat Pulau Banggi daripada kehidupan seharian yang dahulunya terpencil kini sudah boleh berhubung dengan dunia luar melalui Internet manakala penduduk yang dahulunya terasing kini merasai nikmat bekalan elektrik dan air bersih.
Baki Alim, 52, berkata dia dilahir dan dibesarkan di Pulau Banggi manakala nenek moyangnya juga berasal dari pulau berkenaan.
"Kami memang mahukan pembangunan yang setara dengan kawasan lain… bila imbas kembali sebelum merdeka atau beberapa tahun selepas merdeka, tidak ada apa-apa di sini... tiada kemudahan dan hidup kami susah… namun kemudian banyak perubahan telah berlaku dan kami amat bangga melihat situasi sekarang.
"Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan yang telah membawa perubahan kepada pulau ini, yang kini semakin maju dan pelbagai peluang pekerjaan telah diwujudkan di sini," kata penduduk Kampung Batu Layar itu yang bekerja sebagai pemandu jentera.
Baki berkata sejak awal bulan ini, penduduk Pulau Banggi tidak lagi perlu ke Kudat untuk membelanjakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diberikan oleh kerajaan kerana ia boleh ditebus di lima kedai di pulau berkenaan.
"Dulu saya perlu ke Kudat untuk menebus SARA dan ia tidak berbaloi kerana kita perlu membayar tambang feri sebanyak RM23 sekali jalan… namun kini penduduk senang kerana ada lima kedai yang menyediakan kemudahan berkenaan dan barang yang ada juga mencukupi," katanya.
Bagi Asniah Bungsu,50, penduduk Kampung Batu Putih yang meniaga kuih-muih di Karakit, kemudahan jalan raya yang baik membolehkan penduduk di Pulau Banggi berulang-alik setiap hari ke tempat kerja.
"Saya berjualan di sini sejak 20 tahun lepas dan pada masa itu, kami terpaksa berjalan kaki… kami juga selalu menginap di tempat kami berjualan kerana lokasinya jauh dari kampung… kini keadaan sudah banyak berubah dan saya juga boleh menjual melalui aplikasi WhatsApp sahaja.
"Dengan adanya kemudahan Internet, semua boleh buat… pelanggan boleh membuat tempahan dalam talian dan mereka juga boleh membayar melalui Internet... semua ini telah memudahkan kami para peniaga di sini," katanya.
Abdullah Apil, 55, yang menetap di Kampung Padang 2, pula berkata sebagai pemandu kereta sewa, kemudahan Internet dan jalan raya sangat penting.
"Dengan adanya kemudahan jalan raya yang semakin baik, kita boleh menghantar pelanggan ke banyak lokasi tanpa sebarang masalah.
“Selain itu, dengan adanya kemudahan telefon dan Internet kita tidak perlu bersusah payah, berhujan dan berpanas menunggu pelanggan di dalam kenderaan kerana kita boleh menerima pelanggan melalui WhatsApp.
"Kita duduk di rumah juga boleh mendapat tempahan daripada orang ramai… ia sangat memudahkan bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pelanggan yang memerlukan khidmat kami,” katanya.
Namun, apa yang penduduk harapkan ialah kerajaan akan terus memajukan Pulau Banggi dan paling penting, isu bekalan elektrik yang sejak akhir-akhir ini berdepan masalah, dapat diselesaikan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang melawat Pulau Banggi pada 10 Ogos lepas, berkata Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi digital di pulau berkenaan.
Beliau berkata inisiatif itu menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang akan membantu mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar besar dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
"NADI memainkan peranan penting dalam usaha kita membawa Sabah ke era digital dengan menyediakan capaian Internet, latihan kemahiran digital dan akses maklumat kepada komuniti luar bandar yang selama ini ketinggalan dalam arus pembangunan," katanya.
Fahmi berkata teknologi Starlink yang digunakan di NADI Pulau Banggi menyediakan akses Internet berkelajuan tinggi mencecah 100 megabait sesaat sekali gus membuka peluang baharu kepada penduduk tempatan dalam bidang ekonomi digital.
"Dengan adanya kemudahan ini, anak-anak muda di Pulau Banggi tidak perlu lagi berhijrah ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur kerana mereka boleh menggunakan kepakaran digital untuk menjana pendapatan di kampung halaman mereka," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa inisiatif NADI Pulau Banggi, yang merupakan sebahagian daripada Projek Inklusif Digital NADI Malaysia, telah dinobatkan sebagai juara Hadiah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) 2025 bagi kategori Pembinaan Keupayaan.
Pengiktirafan antarabangsa ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus pendigitalan negara sejajar dengan dasar Sabah Maju Jaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial