WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IKIM Gesa Dunia Islam, Masyarakat Antarabangsa Ambil Tindakan Susulan Henti Serangan Israel

17/09/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menggesa dunia Islam dan masyarakat antarabangsa melaksanakan enam tindakan susulan bagi menghentikan serangan tidak berperikemanusiaan Israel.

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata tindakan itu termasuk gesaan supaya Malaysia dan negara Islam mencadangkan deraf resolusi tergempar di Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengaktifkan misi ketenteraan antarabangsa atau pasukan pengaman bagi menghentikan serangan.

Selain itu,  dunia Islam dan masyarakat antarabangsa juga perlu memastikan inisiatif Global Sumud Flotilla (GSF) diberikan perlindungan penuh dan kebenaran untuk memasuki Gaza.

“Hal ini bertujuan mewujudkan koridor kemanusiaan berterusan untuk membolehkan bantuan makanan, perubatan dan perlindungan sampai kepada rakyat Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan lain ialah untuk negara Arab dan Islam mengambil langkah tegas menghentikan hubungan rasmi dengan Israel sebagai bantahan keras terhadap kezaliman dilakukan.

Tindakan sekatan perlu dilakukan terhadap urusan import dan eksport dengan Israel bagi memberikan tekanan ekonomi, sekali gus melemahkan sokongan terhadap rejim itu selain meluaskan boikot serta sekatan dalam semua bentuk aktiviti seperti penyelidikan, pendidikan, budaya dan pelancongan. 

“Negara Arab dan Islam secara kolektif perlu membawa kes genosid Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.

Mohamed Azam berkata langkah berkenaan bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah memperkukuh kesedaran global bahawa isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang mesti ditangani secara kolektif.

“Langkah ini menzahirkan kesungguhan negara Islam untuk tidak hanya mengecam secara retorik tetapi mendorong kepada perubahan melalui mekanisme undang-undang dan politik global,” katanya.

Mohamed Azam berkata IKIM menyokong penuh kenyataan tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar pada 15 Sept, mengecam serangan udara Israel ke atas Doha dan menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa, menceroboh kedaulatan negara berdaulat serta menggugat keselamatan rantau.

“IKIM berpandangan serangan itu bukan sahaja merupakan ancaman terhadap Qatar, malah juga terhadap keseluruhan dunia Islam dan masyarakat dunia di samping mencabar prinsip kedaulatan negara serta menggugat keamanan antarabangsa,” katanya.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, Perdana Menteri mendesak hukuman tegas terhadap Israel selain mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim itu ke atas Doha dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.

Anwar berkata langkah tegas dan muktamad perlu diambil kerana kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu selain kenyataan demi kenyataan tidak akan membebaskan Palestin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan