WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Media Malaysia Fokus Kepada Kemajuan Teknologi China, Penciptaan Pekerjaan

17/09/2025 11:57 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

KUNMING (CHINA), 17 Sept (Bernama) -- Media Malaysia menunjukkan minat yang mendalam terhadap kemajuan teknologi China khususnya dalam kenderaan elektrik (EV) dan ekonomi digital serta memberi tumpuan kepada bagaimana perkembangan ini memberi kesan secara langsung kepada Malaysia dari segi penciptaan pekerjaan.

Pengarang Pengurusan Star Media Group Brian Martin berkata media Malaysia fokus kepada perkongsian dan peluang dengan China serta kesan langsungnya terhadap kehidupan rakyat Malaysia.

"Kami melihat minat pembaca (rakyat Malaysia) yang mendalam terhadap teknologi China terutamanya dalam bidang seperti kenderaan tenaga baharu (NEV) dan ekonomi digital. Ini tidak menghairankan kerana jenama seperti BYD mengambil sebahagian besar daripada pasaran EV baharu di Malaysia, pembaca ingin tahu apa maknanya (kesan) bagi mereka.

"Fokus kami tertumpu kepada kesannya, bagaimana ia mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia? Bagaimanakah ia memberi manfaat kepada pengguna kita? Bagaimanakah sektor teknologi kami sendiri boleh menjadi rakan kongsi untuk pertumbuhan?.

“"Kami membincangkan mengenai inovasi dengan tumpuan kepada peluang-peluang di peringkat tempatan," kata Brian semasa sesi dialog pada Forum Kerjasama Media ASEAN+3 (10+3) ke-11, di sini, hari ini.

Brian adalah salah seorang daripada empat ahli panel untuk perbincangan mengenai topik "Membina Konsensus dan Pertingkatkan Hubungan Rakyat-ke-Rakyat di Asia Timur".

Empat ahli panel yang lain ialah Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Media Massa, Lembaga Jawatankuasa Pusat Lembaga Latihan dan Propaganda Pusat Parti Revolusi Rakyat Laos, Somsack Sakounkham; Ketua Editorial dari Brunei, Analisa Amu dan Ketua Pengarang Khmer Times Kemboja, Roeun Van.

Bagaimanapun, liputan media juga mengutamakan cerita pesona yang menghubungkan kedua-dua negara terutamanya dalam pelancongan, pendidikan dan hubungan budaya yang mendalam dalam masyarakat Tionghua di Malaysia.

"Kisah-kisah kemanusiaan yang dikongsi ini secara konsisten memberi kesan kepada pembaca kita dan akhirnya, semua hubungan antarabangsa adalah peribadi. Tugas kami adalah untuk menceritakan kisah peribadi tersebut," kata Brian.

Bertema "Tingkatkan Kesalinghubungan untuk Pembangunan Bersama dan Faedah Bersama",  Forum Kerjasama Media ASEAN+3 (10+3) ke-11 itu menghimpunkan lebih 100 peserta dari 10 negara ASEAN termasuk Jepun, Korea Selatan dan China.

Dalam pada itu, penceramah lain juga menekankan untuk mengkaji kemajuan teknologi digital di China terutamanya dalam bidang kesalinghubungan, teknologi hijau dan pertanian.

Menurut Analisa, Brunei menandatangani perjanjian dengan China mengenai teknologi beras hibrid baru-baru ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara dan mengukuhkan keselamatan makanan.

Beliau berkata Brunei kini mengimport beras dari Thailand dan Kemboja tetapi usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

"Walaupun hubungan dua hala Brunei-China bermula pada 1991, bukan tempoh yang lama seperti Jepun dan Korea Selatan, perkongsian itu telah berkembang menjadi agak kukuh. Kami mengharapkan lebih banyak kerjasama antara China dan Brunei," tambahnya.

Forum Kerjasama Media 2025 mengenai Belt and Road bermula semalam, menghimpunkan lebih 200 wakil dari 87 negara, organisasi antarabangsa dan serantau serta 165 institusi dan organisasi media di seluruh dunia.

Acara yang diadakan di Kunming, Wilayah Yunnan di barat daya China, dianjurkan bersama oleh People's Daily, Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) Wilayah Yunnan dan kerajaan Rakyat Wilayah Yunnan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan