WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kepulauan Virgin AS Saman Meta, Dakwa Syarikat Untung Atas Iklan Penipuan

01/01/2026 01:41 AM

ISTANBUL, 31 Dis (Bernama-Anadolu) -- Kepulauan Virgin Amerika Syarikat (AS) telah memfailkan saman terhadap Meta, menuduh syarikat itu serta platformnya, Instagram dan Facebook, mengaut keuntungan daripada iklan penipuan serta gagal melindungi kanak-kanak daripada bahaya, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman wilayah itu pada Isnin.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa jabatan berkenaan berkata tindakan undang-undang itu bertujuan melindungi “kesejahteraan dan keselamatan” ribuan kanak-kanak yang menggunakan platform Meta. Ia turut memaklumkan bahawa Kepulauan Virgin menyertai puluhan bidang kuasa lain AS yang lain dalam meneruskan litigasi terhadap syarikat berkenaan.

“Melalui saman ini, Kepulauan Virgin bukan sahaja menyertai 42 peguam negara negeri lain yang membawa Meta ke mahkamah atas kegagalannya melindungi kanak-kanak dan mendedahkan risiko di platformnya secara jujur, malah turut memperluas usaha itu dengan menuntut akauntabiliti Meta kerana secara sedar memudahkan, gagal menangani, dan mengaut keuntungan besar daripada penipuan yang berleluasa di platformnya,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan mendakwa Meta mengenal pasti iklan penipuan tetapi tetap mengenakan bayaran lebih tinggi kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk meneruskan iklan berkenaan, bukannya memadamkannya.

Menurut kenyataan itu lagi, Meta dianggarkan memperoleh kira-kira 10 peratus daripada hasilnya pada 2025, bersamaan US$16 bilion daripada iklan penipuan dan secara dalaman mengakui bahawa platformnya bertanggungjawab terhadap satu pertiga daripada kes penipuan yang berjaya di Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa turut menuduh Meta menggunakan algoritma yang direka untuk menghalang remaja daripada mengawal masa penggunaan media sosial sekali gus menggalakkan ketagihan, masalah kesihatan mental, kemurungan dan kecenderungan mencederakan diri.

Meta setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung saman itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan