WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Warga Emas Berusia 88 Tahun Gigih Menganyam Tikar Mengkuang

13/01/2026 11:48 AM

CHUKAI, 13 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas Zainab Abu Bakar, 88, dari Kampung Bukit Mentok dekat sini tetap gigih meneruskan kemahiran seni anyaman tikar mengkuang, walaupun bidang warisan itu semakin lenyap ditelan arus kemajuan.

Walaupun sudah lanjut usia, jari-jemari Zainab tidak pernah mengenal erti penat apabila masih tekun menyusun helaian daun mengkuang dengan penuh kreativiti, bagi menyiapkan tempahan pelanggan.

Beliau berkata kemahiran menganyam tikar mengkuang, dipelajari daripada datuk saudaranya sejak berusia 13 tahun setelah tertarik dengan kehalusan hasil tangan masyarakat Melayu itu.

“Sebelum ini Kampung Bukit Mentok terkenal sebagai antara pusat pengeluaran tikar mengkuang di daerah ini apabila ramai penduduk setempat mengusahakan pekerjaan tersebut.

“Bagaimanapun pada masa ini hanya makcik seorang sahaja menganyam tikar mengkuang apabila golongan muda tidak lagi berminat menceburi kemahiran tradisional tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Bukit Mentok di sini hari ini.

Zainab yang mempunyai lima orang anak perempuan, 29 cucu, 58 cicit dan seorang cuit berkata proses anyaman tikar mengkuang memerlukan kegigihan, ketelitian serta kesabaran yang tinggi, kerana setiap peringkat kerja dilakukan secara manual dan mengambil masa untuk disiapkan bagi memastikan hasilnya kemas dan berkualiti.

Zainab berkata dia memulakan kerja dengan mencari dan memilih daun mengkuang, membelah daun, melayur, merendam, mewarna, melurut daun, jemur serta menganyam.

“Kesemua kerja-kerja tersebut dilakukan sendiri sambil dibantu oleh anak-anak dan cucu,” katanya.

Zainab berkata dia yang tidak mempunyai masalah kesihatan memulakan kerja-kerja menganyam tikar mengkuang seawal 4 pagi.

“Makcik kebiasaannya tidur awal dan bangun awal pagi bagi memulakan kerja menganyam tikar, kerana lebih selesa melakukannya dalam keadaan cuaca sejuk.

“Bagaimanapun saya tidak menganyam tikar setiap hari, kecuali ada tempahan yang perlu disiapkan,” katanya.

Zainab berkata beliau mengambil masa kira-kira lima hari iaitu bermula dari peringkat awal untuk menyiapkan sebidang tikar yang berukuran 2.29 meter panjang dan 1.37 meter.

Beliau berkata setiap bidang tikar mengkuang itu dijual pada harga antara RM60 hingga RM70 dan banyak tempahan diterima termasuk dari luar Terengganu.

Selain itu, beliau berkata lima anak perempuannya yang berusia 52 hingga70 tahun tidak berminat meneruskan kerjayanya tersebut walaupun mereka mempunyai kemahiran menganyam tikar mengkuang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan