WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Letupan Universiti: Tiga Mangsa Masih Dirawat Di Hospital - Polis

13/01/2026 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Tiga mangsa yang cedera dalam insiden letupan di sebuah universiti di ibu negara semalam masih dirawat di hospital, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata mangsa pertama, seorang kontraktor wanita berusia 54 tahun kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan akibat serpihan besi dalam badan serta melecur, namun keadaannya dilaporkan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.

Fadil berkata mangsa kedua, seorang pelajar wanita berusia 19 tahun, masih tidak sedarkan diri dan menerima rawatan rapi di hospital sama akibat pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak.

“Mangsa ketiga, seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun iaitu pekerja kantin di universiti terbabit pula dirawat di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemantauan walaupun tidak mengalami kecederaan serius, manakala enam mangsa lain telah dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), katanya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan pihak polis akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira 11.40 pagi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Fadil dilaporkan berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan