WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemadaman Kebakaran Kilang Di Olak Lempit 95 Peratus, Dijangka Selesai Petang Ini

15/01/2026 03:37 PM

BANTING, 15 Jan (Bernama) -- Operasi pemadaman kebakaran empat premis di Kawasan Perindustrian Olak Lempit di sini, telah mencapai tahap 95 peratus dan dijangka dapat selesai sepenuhnya petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, setakat ini operasi pemadaman berada pada fasa pemeriksaan lanjut dengan hanya berbaki tompok bara kecil yang sedang dipadamkan sepenuhnya.

“Dalam masa yang sama kita menjalankan pencarian rapi bagi memastikan tiada lagi mangsa atau elemen lain yang terlepas pandang.

“JBPM telah menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bersama-sama Discipline Body Recovery untuk kita membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Ahmad Mukhlis berkata tiga mayat rentung dalam kebakaran itu setakat ini, ditemukan dalam gudang pertama yang terbakar iaitu gudang Pentas Flora ketika kerja pemeriksaan lanjut dijalankan.

Beliau berkata kebakaran melibatkan masing-masing sebuah gudang Pentas Flora yang menyimpan minyak terpakai dan kilang polimer yang musnah sepenuhnya sebelum bahang haba kebakaran menyebabkan kerosakan kepada dua premis berhampiran.

“Bahang haba memberi kesan kepada kilang pemprosesan minyak terpakai milik Pentas Flora dan sebuah lagi gudang menyimpan perabot di kawasan berhampiran,” katanya. 

Ahmad Mukhlis berkata siasatan punca kebakaran telah dimulakan dan dijangka mengambil masa sehingga 14 hari. 

Terdahulu, Ahmad Mukhlis dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.03 malam semalam, dengan 69 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan