WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Jenayah Indeks Di Kelantan Menurun - Polis

18/01/2026 02:40 PM

KOTA BHARU, 18 Jan (Bernama) -- Kes jenayah indeks di Kelantan mencatatkan penurunan daripada 2,296 kes pada 2024 kepada 1,848 kes atau 19.5 peratus pada tahun lepas, iaitu pengurangan sebanyak 448 kes.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata perkembangan positif itu dicapai hasil usaha berterusan pasukannya mengekang jenayah harta benda yang merekodkan penurunan 24.3 peratus daripada 1,873 kes (2024) kepada 1,418 kes (2025).

“Kes curi menurun daripada 732 kes pada 2024 kepada 647 kes tahun lepas manakala kes curi kenderaan turut mencatatkan penurunan ketara sebanyak 39.7 peratus daripada 68 kes (2024) kepada 41 kes (2025),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata trend jenayah kekerasan memerlukan perhatian serius apabila mencatatkan peningkatan kecil tetapi signifikan daripada 423 kes (2024) kepada 430 kes (2025) dengan kenaikan sebanyak 1.7 peratus.

“Kes bunuh meningkat daripada empat kes (2024) kepada tujuh kes (2025) manakala kes samun tanpa senjata api turut meningkat sebanyak 25 peratus iaitu 60 kes pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“Selain itu, polis Kelantan merekodkan 27,339 kes narkotik dengan 28,807 tangkapan sepanjang 2025 manakala nilai rampasan dadah mencatatkan penurunan ketara sebanyak 60 peratus daripada RM73.52 (2024) kepada RM29.56 juta (2025),” katanya.

Beliau berkata jenayah komersial termasuk kes penipuan telefon, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian dan kerja sambilan palsu pula menunjukkan trend membimbangkan apabila meningkat daripada 1,095 kes pada 2024 kepada 2,010 kes pada 2025, meskipun jumlah kerugian kewangan berjaya dikurangkan kepada RM50.09 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata pihak berkuasa negeri bakal memulakan semula kerja merobohkan 71 daripada 96 lagi jeti haram berstruktur di sepanjang Sungai Golok dekat sempadan Malaysia-Thailand pada Ahad depan.

“Operasi kali ini menumpukan kepada struktur jeti yang masih berdiri berikutan perobohan awal terhadap sebahagian besar jeti haram di kawasan itu. Usaha perobohan kali ini dijangka mencabar kerana keadaan geografi Sungai Golok dan akses sempit dari darat, justeru kerja akan dimulakan dari bahagian air terlebih dahulu,” katanya.

“Pihak berkuasa akan merobohkan sebanyak mungkin jeti haram sepanjang operasi ini dan menyasarkan agar kerja-kerja ini dapat diselesaikan pada Mac depan, namun bergantung kepada keadaan cuaca dan logistik,” katanya.

Terdapat 223 jeti pangkalan haram di sepanjang sempadan bermula dari Tumpat hingga Jeli dengan 216 berada dalam tanah kerajaan manakala tujuh lagi jeti dibina atas tanah persendirian penduduk.

Mengulas mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang parah selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Bachok baru-baru ini, Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian itu dan akan memanggil mana-mana individu yang berkaitan bagi membantu siasatan sekiranya perlu.

“Kami juga sudah merakam keterangan daripada pemandu kenderaan terbabit dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh untuk disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.45 pagi 3 Jan lepas, Nurul Afia Raisha Muhamad Shamsul dilaporkan dilanggar sebuah MPV JBPM yang sedang mengundur ketika berlangsungnya program Hari Keluarga JBPM di sebuah resort di Bachok.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk dan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan