WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan Di Kulim

18/01/2026 10:12 PM

KULIM, 18 Jan (Bernama) -- Tiga beranak maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Kulim-Mahang dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta, Muhammad Syazwan Mohd Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

“Pasukan polis trafik menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada 5.15 petang dengan ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada Proton S70 dipandu lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Viva dinaiki ketiga beranak itu," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata kesemua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 5.09 petang.

"Lima anggota BBP Kulim Hi Tech yang tiba di lokasi kejadian mendapati pemandu Perodua Viva tersepit dan terdapat dua kanak-kanak lelaki di dalam kenderaan itu," katanya menambah kematian ketiga-tiga mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.

Beliau berkata kereta Proton S70 itu dilaporkan terbakar namun pemandunya berjaya menyelamatkan diri dan kini dirawat di Hospital Kulim akibat cedera ringan.

"Dua kanak-kanak lelaki di bahagian penumpang Perodua Viva dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala pasukan bomba mengeluarkan pemandunya yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya.

Azmir berkata operasi menyelamat tamat pada 6.16 petang.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan